1998-2001 : Perpecahan Search (kumpulan muzik)

Selepas penyertaan Fauzi sebagai pemain bass baharu yang menggantikan Nasir yang meninggalkan kugiran ini buat kali kedua, kumpulan Search sekali lagi berganding bahu dengan Wings (Penyanyi Wings ialah Mustaffa Din) untuk mengeluarkan album Double Trouble 2 untuk dipasarkan pada awal tahun 1998. Akan tetapi, Amy mengumumkan secara rasmi dirinya keluar dari Search yang dikatakan dilanda kemelut dengan Yazit. Ini telah menjadi perhatian wartawan-wartawan media hiburan dan kejutan besar buat para peminat Search di Malaysia dan Indonesia. Akibatnya, album Double Trouble 2 terjejas untuk di buat promosi di seluruh negara. Tidak lama kemudian Amy memberi tumpuan kepada kerjaya solonya,[22] sekaligus meninggalkan Bertelsmenn Music group (BMG) untuk menyertai Sony Music.[23]

Tidak lama setelah Amy meninggalkan Search, ada ura-ura yang mengatakan bahawa Yazit mahu mengambil Awie sebagai pengganti namun Awie tidak dapat menerima tawaran itu kerana Awie sudah ada komitmennya yang tersendiri. Setelah Awie dan Yazit berbincang, Awie bersetuju menerima tawaran Yazit sebagai penyanyi jemputan. Menyebut nama 'Awie' di kulit album terbaharu Search menjadikan album yang berjudul Bikin Wilayah pada bulan Ogos 1998 meletup di pasaran. Album studio ke 9 termasuk album keseluruhan Search ini merupakan album pertama Search tanpa perjuangan Amy. Lagu Nur Nilam Sari menjadi pisang goreng panas di seluruh negara termasuk di corong-corong radio tempatan.

Seterusnya Search dan Awie mengadakan konsert berskala besar di PWTC Kuala Lumpur pada bulan Oktober 1998. Pada bulan Februari 1999, Search dan XPDC telah mengadakan konsert berskala besar selama dua hari berturut-turut yang dinamakan konsert gergasi berentap Search VS XPDC yang dianjurkan oleh Norman KRU dan diadakan di Stadium Negara Kuala Lumpur. Konsert gergasi berentap tersebut turut memperkenalkan penyanyi baharu Search iaitu Moq dan juga turut dihadiri oleh bekas penyanyi Search, Amy. Konsert gergasi berentap tersebut juga adalah penglibatan terakhir Awie sebagai penyanyi undangan Search. Rezeki Search dan Awie bertambah seterusnya apabila album Bikin Wilayah berjaya meraih kemenangan dalam pertandingan Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998 bagi kategori Album Rock Terbaik pada bulan Mei 1999. Akan tetapi, Search berada di ambang perpecahan apabila Kid, Din dan Fauzi menarik diri dan meninggalkan Yazit sebagai satu-satunya anggota asal Search. Sekali lagi kemelut Search dan Yazit mendapat perhatian para media hiburan tempatan. Akhirnya selepas berusaha, Yazit berjaya membariskan barisan baharu Search iaitu Moq (vokal), Shah (gitar), Zam (bass) dan Yazit (dram). Kontroversi berganda terus menimpa Search apabila lagu Nur Nilam Sari di gam oleh TV3 dan menyebabkan M. Nasir berasa sangat kecewa. Ia berikutan apabila Yazit mendakwa Awie enggan menyampaikan lagu tersebut bersama barisan baharu Search di dalam pertandingan Muzik-Muzik 1999.[24] .

Selepas itu album baharu kesepuluh mereka iaitu Selepas Banjir dipasarkan pada tahun 1999. Din yang ditemui wartawan media hiburan Berita Harian mendakwa berasa pelik dengan Yazit kerana hanya beliau (Yazit) seorang saja merupakan anggota asal Search yang muncul dengan album studio dan masih lagi menggunakan nama Search. Din tidak berani menjawab persoalan wartawan 'Adakah Search yang terdahulu akan kembali bersatu?'. Selepas Banjir, adalah album studio terakhir di bawah nama Search selepas album tersebut sambutan para peminat amat mengecewakan[25], sebelum kugiran itu dibubarkan album himpunan Rockestra dikeluarkan.[26]

Walaupun tidak aktif pada awal dekad pertama alaf ketiga, tidak kurangnya album kompilasi yang dikeluarkan dengan nama Search, diisi lagu-lagu terpilih kumpulan rock ini, tidak lupa juga keluaran semula album Fenomena dan Gema di Timur Jauh yang menjalani usaha baik pulih digital. Yazid, Moq, dan Zam pula meneruskan perjuangan mereka dalam seni muzik tanah air dengan membentuk kugiran Rampage, sementara Amy giat mengusahakan kerjaya solonya yang melahirkan tiga album di bawah label Sony (kemudian menjadi Sony BMG): Aku, Suatu Masa dan IKON: A Rockstar Chronicle.

Pembubaran Search adalah satu sejarah paling pahit. Search ialah sebuah nama yang besar dalam sejarah muzik rock tanahair. Siapa sangka kumpulan yang begitu gagah ini tertewas setelah 18 tahun berentap di arena muzik malaysia. Akhirnya, Search tertewas setelah hampir 20 tahun berjuang dan telah dibubarkan secara rasmi pada 16 Januari 2001. Akhirnya nama Search dimasukkan ke muzium. Namun Yazid mendakwa Search tidak dibubarkan tetapi Search hanya dibekukan sementara waktu. Tidak lama kemudian Yazit selaku pengasas Search telah menukarkan nama kumpulan Search kepada Rampage yang kurang diterima oleh para peminat. Menjadi tanda tanya 'Adakah zaman kegemilangan Fenomena anggota Search akan dikembalikan?' namun Yazit enggan mengeluarkan sebarang kenyataan tepat kepada wartawan media hiburan.

Rujukan

WikiPedia: Search (kumpulan muzik) http://www.budiey.com/gambar-search-di-sidang-medi... http://news.google.com/newspapers?id=-ZcWAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=5NwxAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=GRAWAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=LLYTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=RbsTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=SboTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=kFAeAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=m7gTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=peYVAAAAIBAJ&...